About Me

Foto saya
Sanglang, Perlis, Malaysia
NamE nUrDurie arIfA bT zAhAri... umO 20 THN... Lahir pd 20/9/91 student PUo... hehehe..ape g erk nk citer??

Jumaat, 14 Januari 2011

Itik dan Kura-Kura

Terdapat dua ekor itik dan seekor kura-kura yang bersahabat baik tinggal di suatu kawasan yang semakin kering dek kemarau panjang. Binatang-binatang yang bermastautin di situ telah lama meninggalkan tempat tersebut memandangkan semakin hari semakin sukar untuk mendapatkan makanan dan minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan semakin kekuningan dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.

Disebabkan keadaan semakin mendesak, maka dua ekor itik itupun telah berpakat dan mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih lembab dan berair. Kura-kura berasa risau memandangkan sahabat baiknya ingin meninggalkan tempat tersebut. Dengan keadaannya yang bergerak lambat dan tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk dirinya mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada kedua-dua ekor itik tersebut.

"Kalian hendak berpindah, nanti aku akan mati kekeringan di sini. Aku tidak mampu terbang mengikutimu mencari tempat yang lebih baik. "

"Hmmm.. betul juga kata kamu Si Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika kamu mahu, kami boleh membantu kamu untuk sama-sama berpindah," ujar salah seekor itik tersebut setelah berfikir seketika.

"Bagaimana?" balas kura-kura kembali.

"Kami berdua akan menggigit sebatang kayu dan kamu juga mesti menggigit kayu itu untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat. Bagaimana, kamu setuju?" Soal itik.

"Owh, kalau begitu aku setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.

Maka terbanglah kedua-dua ekor itik itu mencari tempat tinggal baru bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui suatu kawasan, ada beberapa orang budak nakal yang mengejek kura-kura.

"Hei kura-kura! Ada hati nak terbang tinggi. Engkau tu dah memang semulajadinya tidak boleh terbang, ada hati nak terbang tinggi macam itik. "

Kura-kura berasa geram dan marah dengan ejekan tersebut, tetapi dia masih tidak berkata apa-apa kerana dia tahu jika dia membuka mulut pasti dia akan terjatuh.

Kedua-dua itik tersebut terus terbang meninggalkan mereka tanpa mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah penat terbang mencari destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang dipenuhi dengan budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan keberanian dan kesungguhan kura-kura.

"Kura-kura, kami kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kamu. Walaupun kamu tidak boleh terbang, tetapi kamu berusaha dengan gigih dan mahu ditolong oleh sahabat-sahabat mu, " jerit mereka kepada kura-kura.

Disebabkan teruja dengan pujian budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka mulutnya untuk menjawab pujian budak-budak itu.

'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"

Sebelum sempat menghabiskan kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah badannya.

Begitulah berakhirnya kisah Itik dan Kura-Kura. Apabila dikeji, dihina, kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang dulu bersemangat kental akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.

Begitu juga dengan kita, kita akan kuat apabila dihina dan diberi pelbagai tohmahan tetapi kita mudah terbuai dengan puji-pujian. Dalam kehidupan ini, kita janganlah cepat lemah dengan kejian, dan cepat riak dengan hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa bersyukur dan jadikan setiap kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber kekuatan kita untuk terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa riak. Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.

Iklim Dan Sikap Manusia

Tahukah anda salah satu keadaan yang mempengaruhi perangai manusia adalah iklim? Ia bukan sahaja mempengaruhi perangai dan sikap manusia tetapi juga mempengaruhi cara manusia berfikir dan bertindak. Bagaimana ini boleh berlaku?

Di dunia, kita mempunyai pelbagai jenis iklim atau dengan kata lain cuaca dan musim. Di luar sana kedapatan kepelbagaian iklim seperti 4 musim, tundra, tropika dan panas. Bagaimanakah keadaan ini sangat mempengaruhi manusia?

Ia tidak memerlukan satu penerangan saintifik untuk memahaminya. Adakah mudah untuk memperoleh bekalan air ditengah-tengah padang pasir? Bayangkan seorang perantau yang merentasi padang pasir yang hanya berbekalkan sebotol air mineral, adakah perjalanan ia akan menjadi mudah? Bukankah kalau kehabisan air boleh menyebabkan perantau padang pasir menghadapi risiko maut?

Bagaimana pula di Malaysia, adakah kita risau jikalau hanya membawa sebotol air mineral ketika bermusafir? Andai tiada sebotol air pun di dalam kenderaan, kita langsung tidak pernah risau dan tertekan.Tidak pernah kita mendengar orang mati kehausan di Malaysia ketika bermusafir.

Tekanan Menjadikan Tiada Pilihan

Apakah pilihan yang ada bagi manusia yang tinggal di kawasan yang mempunyai iklim seperti tundra, panas dan 4 musim? Mereka tiada pilihan melainkan menyesuaikan diri dengan keadaan untuk meneruskan kehidupan.

Contohnya perubahan cuaca di iklim 4 musim yang berubah daripada musim panas ke musim sejuk. Musim sejuk kebiasaannya akan membawa masalah bekalan makanan. Jadi sudah menjadi kebiasaan setiap tahun bagi mereka yang duduk di iklim ini sentiasa bersedia untuk menyimpan makanan bagi persediaan musim sejuk. Andai mereka lalai, akibatnya mereka akan kelaparan dimusim sejuk.

Di padang pasir pula, apabila sudah menjadi persepsi asas bahawa air sukar diperolehi, maka orang sedia tahu bahawa mereka perlu sentiasa bersedia dengan bekalan air. Andai putus bekalan air dalam bermusafir, ia mungkin boleh menyebabkan maut. Orang yang tinggal di tundra sentiasa mempastikan mereka mempunyai pakaian yang sesuai dengan kesejukan. Hilang pakaian tebal, maka mereka akan menghadapi risiko kesejukan yang boleh menyebabkan kematian.

Tidak kurang juga mereka yang tinggal dinegara beriklim ini sering menghadapi bencana alam. Tidakkah anda melihat mereka tiada pilihan melainkan mencari jalan bagaimana membuat petempatan yang bersesuaian untuk menghadapi bencana-bencana seperti ini?

Tiada pilihan membawa manfaat

Apabila kita terlalu banyak pilihan, manusia biasanya banyak menghabiskan masa berfikir untuk memilih. Berbeza dengan mereka yang tiada pilihan, mereka akan menghabiskan masa dengan bertindak.

Inilah yang secara tidak langsung menjadi latihan semulajadi yang membentuk sikap seseorang mengikut keadaan iklim masing-masing. Orang dinegara 4 musim amat terbuka pemikiran mereka terhadap idea kehidupan. Ini adalah kerana idea yang bernas akan memudahkan kehidupan. Kerana itu orang putih kebanyakannya sangat terbuka pemikiran mereka. Ini kerana pada setiap perubahan musim, mereka perlu berbuat sesuatu sebagai persediaan.

Berbeza di iklim tropika seperti di Malaysia. Begitu ramai anak muda yang malas dan membuang masa. Mengapa? Kerana mereka tidak perlu risau kerana tiada perubahan musim seperti diluar negara. Cuaca di Malaysia tidak akan membuat mereka maut jikalau putus bekalan air. Andai kata tiada kerja sekalipun, mereka hanya perlu pergi ke rumah ibu ayah dan membuka tudung saji.

Bagi negara yang kerap ada bencana alam, rakyatnya sentiasa mempunyai inovasi untuk mencipta sesuatu bagi survival kehidupan. Rekabentuk dan kejuruteraan rumah contohnya bagi negara yang sering mempunyai gempa adalah berteknologi tinggi. Andai gempa berlaku setiap bulan, rumah mereka masih berdiri teguh dan tahan. Di Malaysia, tiada gempa sekalipun, bangunan sudah retak dan bocor. Malah ada yang roboh.

Jangan Takut Dengan Tekanan

Tekanan adalah perkara yang membebankan. Tiada siapa yang menyukai tekanan. Namun bagi mereka yang memahami, pasti akan menghargai tekanan setelah mengetahui tekanan itu membuat mereka tiada pilihan melainkan menyelesaikan masalah daripada tekanan tersebut.

Masalah adalah peluang. Ia adalah peluang untuk mempelajari bagaimana membuat penyelesaian. Apabila manusia sering lari dari masalah, maka bilakah masanya mereka akan belajar menyelesaikan masalah? Bilakah masanya mereka akan mematangkan diri jikalau sentiasa lari dari situasi ini?

Masalah akan tetap berlaku dalam hidup. Orang yang bersedia dan terus bertindak mempelajari menyelesaikan masalahnya akan mudah di kemudian hari. Ini adalah kerana masalah-masalah baru lebih mudah diselesaikan dengan pengalaman yang lalu. Berbeza daripada mereka yang suka lari dari masalah. Sekecil-kecil masalah boleh menjadi besar kepada mereka.

Hayati Kejadian Allah

Sesungguhnya Allah itu Maha Bijaksana. Dalam benak kita berfikir sukarnya mereka yang tinggal di iklim yang sulit. Tetapi pada mereka ia sudah menjadi kebiasaan. Kebiasaan itu secara tidak langsung mematangkan mereka dengan lebih pantas. Berbeza bagi penduduk tropika yang tiada tekanan dan tidak menghayati perkara ini. Allah memberi mereka kesulitan pada mata kasar tetapi Allah beri kelebihan peluang mematangkan diri dari masalah yang diberi. Mereka lebih berpeluang mencipta ilmu berbanding kita di Malaysia.

Kerana itulah pepatah orang lama berbunyi,'banyak berjalan luas pemandangan'. Kita pasti akan teruja melihat cara orang luar menyesuaikan diri dengan iklim dan mukabumi mereka. Orang Malaysia dan orang beriklim tropika harus bersyukur di atas pemberian tuhan ini kerana iklim dan cuaca di sini adalah satu anugerah yang diidamkan mereka yang tinggal di iklim yang memberi ancaman.

Mengapa Rasulullah bersabda 'tuntutlah ilmu walau ke negeri china'?. Mengapa tidak menuntut ilmu dengan orang cina? Hakikatnya, selain daripada bangsa cina itu sendiri yang mempunyai keunikan, hadith ini menggesa manusia bergerak keluar dari tempat sendiri meneroka budaya, cara hidup, kehidupan dan keadaan ditempat orang. Seandainya kita tidak berpeluang memperoleh rezeki untuk mengembara, tanyalah daripada mereka yang pernah merantau. Dapatkan perkongsian tentang apa yang ada di dunia luar sana.

Sesekali belajarlah bersusah-susah dan berani menghadapi susah. Hakikatnya kita mengajar diri untuk menghayati betapa sukarnya kehidupan orang lain dan memahami mengapa orang lain mampu berfikir dan bertindak lebih mantap dari kita. Wallahualam.

Bagaimana Menghadapi Kritikan

Kritikan biasanya negatif semata-mata untuk menegur kesalahan anda. Ada juga kritikan dibuat untuk menjatuhkan anda

Dalam situasi lain, seseorang mengkritik anda dengan kata-kata kesat semata-mata untuk memalukan anda di khalayak ramai.

Jika anda dikritik, apa yang sepatutnya dibuat supaya anda kekal bermotivasi?

Berikut adalah 3 langkah bagaimana untuk memberi respon positif terhadap kritikan - kritikan negatif.

01.Maafkan Si Pengkritik Dan Maafkan Kata-katanya.

Kemaafaan adalah cara paling penting untuk membuat anda bersemangat pada tahap tinggi walaupun di kritik hebat.

Lupakan kata-kata yang mengkritik anda, ambil ia sebagai satu pengajaran sahaja. Jadikan kritikan sebagai cara anda mempelajari sesuatu.

Katakan itu bukan kritikan, tapi cara untuk mengajar anda membuat perkara yang betul. Maafkan si pengkritik. Menyimpan rasa marah terhadapnya hanya akan membuat anda tidak bermotivasi.

02.Diam Dan Tenang Ketika Di Kritik.

Jangan berpeluk tubuh ketika di kritik. Pamerkan air muka tenang, walaupun ketika itu hati anda membara, panas sebab dikritik dan telinga anda pedas mendengar suara si pengkritik.

Turunkan ego anda. Pakai mindset belajar dari kehidupan sepanjang masa untuk menjadi insan lebih baik.

Untuk anda kekal bermotivasi, anda juga perlu berfikiran positif dan bersangka baik sepanjang masa. Anggap kritikan adalah salah satu cara untuk memberitahu anda bahawa tindakan anda salah, sehingga tidak memenuhi sesetengah 'standard'.

Bertekadlah untuk membuat yang lebih baik di lain kali sekiranya anda mempunyai peluang.

03.Sembunyikan kehebatan, Pamerkan Kesanggupan Untuk Berubah dan Perbaiki Diri.

Sehebat manapun anda, elak untuk merasa riak atau merasa diri anda lebih bagus dari orang lain.

Sembunyikan kehebatan. Pamerkan kesanggupan memajukan diri melalui perubahan berterusan.

Bentuk diri anda agar menjadi semakin baik dari sehari ke sehari!

Pelajari cara yang betul, kemudian lakukanlah. Jangan memajukan diri semata-mata mahu mengalahkan si pengkritik sebaliknya majukanlah diri supaya anda berpuas hati dengan apa yang anda berjaya capai.

Dengan itu, anda akan bersemangat mencapai satu tahap pencapaian yang lebih tinggi. Jika anda mahu berjaya semata-mata kerana mahu kalahkan si pengkritik, anda hanya akan kecewa apabila dia semakin maju.

Lantas anda tidak akan bersemangat disebabkan oleh rasa iri hati, dengki dan tidak berpuas hati dengan kemajuannya.

Cara terbaik yang dapat dilakukan adalah menyembunyikan kehebatan dan pamerkan kesanggupan untuk terus berubah dan memperbaiki diri. Setkan matlamat untuk diri sendiri kemudian capai matlamat itu!

Ingatlah bahawa Mindset persaingan membunuh semangat, manakala mindset yang berusaha mencapai matlamat akan menyuburkan lagi semangat. Dengan ini, anda akan sentiasa bermotivasi!

Inspirasi Si Kecil Bernama Semut

Kita seringkali terdengar perumpamaan rajin seperti semut tetapi tahukah kita kenapa wujud perumpamaan sedemikian? Mungkinkah ada perumpamaan lain yang juga sesuai untuk semut?

Semut, makhluk Allah yang kecil, tetapi kecilnya seperti cili padi, pedas dan confirm berasap? kenapa ya?

Kalau kita perhatikan semut, semut akan selalu berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus sehingga ia berjaya mencapai matlamat yang digenggam.

Analogi yang diberikan cukup mudah. Bayangkan kalau ada cebisan makanan di lantai, dan cebisan itu saiznya jauh lebih besar daripada si semut, tetapi pernahkah nampak semut tidak mengerumuni cebisan makanan itu? Tidak bukan? Semut akan berusaha mengangkut cebisan makanan itu ke sarangnya sedikit demi sedikit sehinggalah habis.

Andai dalam perjalanan mengangkut cebisan makanan itu terhalang, semut akan berusaha sedaya upaya dan memilih jalan yang lain mungkin ke kiri dan mungkin juga ke kanan sehinggalah matlamatnya untuk mengangkut cebisan makanan tersebut ke sarangnya tercapai.

Kadang-kadang jalan yang dilalui si semut itu terhalang dek air, maka ia bersama kawan-kawannya saling berkerja sama membuat jambatan. Jika semut-semut yang lain sudah menyeberang, maka semut-semut yang membentuk jambatan akan merapat ke tepi.

SubhanAllah, Indahnya ciptaan illahi :)

Hakikatnya, semut mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mewujudkan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan malahan ia tidak pernah kenal erti penat mahu pun lelah.

Sebagai perkongsian cerita, pada suatu masa dahulu ada seorang arab badwi pergi merantau kerana sesuatu keperluan. Dia merasa sangat letih dan penat serta berputus asa. Maka ia terduduk dan berfikir untuk kembali lagi. Kemudian dia melihat seekor semut yang merangkak naik ke atas batu besar, namun semut tersebut jatuh dan semut itu terus merangkak naik lagi ke atas batu besar itu berulang-ulang kali.

Setelah mencuba, akhirnya semut itu berjaya menaiki batu besar itu . Melihatkan situasi tersebut, si arab badwi itu berkata " Saya sepatutnya bersabar dan berusaha keras lebih daripada semut tersebut."

Akhirnya si arab badwi itu meneruskan perjalanannya dan berjaya sampai ke tempat yang ditujunya dan dia berkata "Cari dan raih , jangan pernah berkeluh kesah dan bosan dari usaha meraih apa yang kamu inginkan. Kerana penyakit orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah bosan."

Hebatkan si kecil bernama semut?

Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan semut mengumpulkan makanannya dari musim panas sehinggalah ke musim sejuk. Oleh sebab semut tidak banyak keluar pada musim sejuk, maka makanan yang telah dikumpul hanya di makan apabila tiba musim sejuk ini.

Cara semut untuk memastikan makanan yang disimpan itu kekal elok, maka dengan kuasa illahi semut tersebut akan membelah ditengah biji bijian itu di tengah bagi memastikan makanan itu tahan lama.

Semut mempunyai sifat cekal dan kesabaran yang tinggi malahan kita wajar mengambil iktibar darinya. Malah seandainya anda meletakkan sebuah batu ditengah-tengah jalan yang digunakan oleh kawanan semut, mereka tidak berundur sebaliknya mencari jalan lain dan berusaha sehingga matlamat itu tercapai.

Kalau dulu, saya hanya percaya perlu rajin seperti semut, tetapi kini saya percaya perlu gigih dan cekal seperti semut.